17 December 2008

Isteri Curang

saya ingin lontarkan racun bisa yang menjalar di setiap urat saraf kehidupan saya. Saya sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata yang menawan. Kehidupan saya juga bahagia selepas lebih 10 tahun berkahwin, namun bak kata pepatah, kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Dalam keindahan dan kebahagian meniti kehidupan, saya ditimpa dugaan yang bukan sedikit. Saya kini menjalin hubungan dengan suami orang. Apa yang berlaku ini tidak diketahui suami yang begitu baik pernah saya temui.


Kadangkala saya bertanya kepada diri sendiri mengapa ini terjadi sebab saya tahu semuanya salah. Terkadang saya rasa ini cubaan dan dugaan daripada Yang Maha Esa untuk menguji setakat mana kekuatan saya.

Saya seorang yang lantang bersuara lebih-lebih lagi dalam hal poligami. Baru-baru ini, saya membantu kawan menyelesaikan masalah rumah tangganya kerana suaminya yang sudah lanjut umur masih berlagak Romeo.

Saya memang marah dengan suami kawan saya sehingga benci yang teramat sukar dikawal. Namun, takdir menentukan kini saya pula menyayangi dan merindui suami wanita lain.

Kami saling merindu, kami cuba untuk menjadi seperti sediakala, tapi sukar untuk mengikis perasaan yang tebal dalam diri. Bantulah saya Dang Setia.



YANG MENGHARAP



Puan mengatakan sukar untuk berubah menjadi sediakala, justeru izinkan Dang Setia bertanya kenapa kesukaran itu timbul? Bagi Dang Setia ia berlaku kerana kerakusan nafsu serakah sudah mengatasi kewarasan akal puan.

Maaf, jika kenyataan itu bunyinya agak kasar dan menyinggung perasaan puan, namun apabila ia satu kebenaran terpaksa jua Dang Setia nyatakan kerana perlu untuk dijadikan panduan.

Kata bijak pandai, dalam mencari kesejahteraan hidup seseorang itu perlu menunggang nafsu dan memacu kehidupan dengan panduan akal. Jika keadaan menjadi sebaliknya iaitu kita memacu kehidupan dengan panduan nafsu dan akal pula diletakkan di bawah, akan rosak binasalah hidup.

Dalam kes puan, sudah terang lagi bersuluh betapa apa yang puan lakukan kini satu kesalahan dan puan sendiri cukup maklum kenyataan ini. Jadi, apabila puan berkata masih sukar untuk mengikis dosa yang puan lakukan itu, bukankah itu jelas menunjukkan bahawa nafsu yang lebih menguasai diri dan pemikiran puan, bukannya akal.

Dang Setia berharap puan sedar dan insaf dengan hakikat ini. Seterusnya, tanya pada diri puan sendiri apakah puan ingin terus-terusan bertindak mengikut hawa nafsu atau kembali ke landasan hidup yang sebenarnya dengan bergerak mengikut panduan akal fikiran yang waras.

Jika puan masih dengan pendirian dan cara berfikir yang sama iaitu sukar untuk mengikis perasaan cinta kepada kekasih puan itu, bermakna puan masih berfikir dan bertindak dengan dorongan nafsu. Oleh itu, Dang Setia minta maaf kerana tidak dapat menolong puan.

Namun, jika puan bertaubat, beriltizam dan beristiqamah (commited) untuk meninggalkan kekasih puan dan kembali setia sebagai isteri solehah kepada suami yang puan sendiri sifatkan “begitu baik pernah ditemui,” insya-Allah ada jalan penyelesaian kepada masalah puan.

Puan, apabila tahu perbuatan kita berdosa, kita perlu menghentikannya. Untuk berhenti pula, sekadar luahan kata-kata di mulut tidak memadai, tapi apa yang lebih penting ialah gabungan kesungguhan hati dan kekuatan fikiran yang seterusnya diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Daripada situlah akan wujudnya iltizam dan istiqamah.

Soal cinta, rindu dan sebagainya bukan alasan yang mampu mengatasi peraturan yang ditetapkan Allah. Puan tidak menyatakan setakat mana tahap hubungan puan dengan kekasih puan yang juga suami orang, sama ada sudah sampai ke tahap terlanjur atau sekadar menghantar SMS melalui telefon.

Namun, tidak kira di tahap mana pun, tindakan menduakan suami biarpun sekadar mengingati dan merindui lelaki, ia sudah dianggap perbuatan curang pada suami dan hukumnya berdosa. Adakah puan cukup kuat atau hebat dan sanggup menghadapi seksaan Allah di akhirat, hanya kerana cinta dan rindu pada lelaki lain?

Puan ada mengatakan mungkin apa yang berlaku ini ujian Allah terhadap puan, tapi sekali lagi Dang Setia tegaskan sekadar berkata demikian tidak memadai, sebaliknya apa tindakan, iltizam dan istiqamah puan untuk memastikan puan lulus ujian Allah itu.

Lulus bermakna puan berjaya menangkis gejolak hawa nafsu puan dan tetap kekal teguh di landasan hidup yang digariskan Allah. Namun, jika iman dan daya saing puan lemah, bagaimana puan mampu lulus ujian Allah itu.

Puan, sedarlah, suami puan yang baik itu cahaya mata yang menawan dan kehidupan berumah tangga yang bahagia selepas lebih 10 tahun berkahwin adalah nikmat amat berharga daripada Allah kepada puan.

Berapa ramai wanita yang meratapi nasib kerana tidak dipertemukan jodoh, suami tidak bertanggungjawab atau tidak dikurniakan zuriat? Jadi, mengapa puan mahu menjadi kufur nikmat?

Mengapa puan mahu menggadaikan segala nikmat itu dengan menjalin hubungan bersama seorang lelaki milik wanita lain dan belum tentu mampu memberi kebahagiaan kepada puan?

Nasihat Dang Setia, sebelum bencana menimpa, segeralah hentikan perbuatan yang berdosa dan merugikan diri sendiri itu. Caranya ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah tidak mengabaikan solat fardu, memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan menolong orang susah.

Mudah-mudahan, semua amalan itu akan meningkatkan lagi iman puan kerana dengan iman yang kukuh, lebih mudahlah puan menundukkan godaan nafsu menyesatkan.

No comments: