16 November 2008

Jadi Hamba Seks 3 Bulan

AMPANG: Penderitaan seorang remaja yang dijadikan hamba seks sekumpulan lelaki selama tiga bulan berakhir apabila dia melepaskan diri daripada cengkaman kumpulan itu, kelmarin.

Remaja perempuan berumur 15 tahun yang berasal dari Taman Melawati, dekat sini, dipercayai diculik lima lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.

Sejurus diculik, mangsa dibawa ke Seremban, Negeri Sembilan dan dikurung dalam sebuah rumah sebelum dijadikan pemuas nafsu kumpulan lelaki terbabit.

Difahamkan sepanjang dikurung, mangsa dikatakan dirogol dan dipaksa melakukan seks oral hampir setiap hari tanpa belas kasihan oleh kumpulan itu.

Menurut sumber, mangsa mendakwa turut diperlakukan seperti haiwan apabila tangan dan kakinya diikat sebelum dirogol bergilir-gilir oleh kumpulan lelaki berumur dalam lingkungan 20-an itu.

“Pergerakan mangsa juga diawasi dan dia tidak dibenarkan keluar dari rumah dipercayai disewa.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa turut dipukul jika dia enggan melayan hawa nafsu kumpulan durjana terbabit,” katanya, semalam.

Kesengsaraan pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Taman Melawati itu bagaimanapun berakhir apabila dia melarikan diri daripada kurungan selepas memperdaya seorang daripada mereka sebelum meminta bantuan orang ramai yang kebetulan melalui kawasan terbabit.

Sumber berkata, mangsa dihantar ke balai polis berhampiran sebelum dibawa ke hopital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

“Mangsa yang kini dalam keadaan trauma mendakwa dirinya dirogol kumpulan lelaki yang menculiknya.

“Polis sedang melakukan siasatan terperinci serta menunggu laporan daripada pihak hospital berhubung dakwaan mangsa,” katanya.

Menurutnya, usaha mengesan semua suspek kini giat dilakukan dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kami sedang mengumpul maklumat kejadian ini dan mengambil keterangan daripada mangsa bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi talian Rakan Cop di 03-21159999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.Harian Metro.

No comments: