24 April 2009

Tukar Daging dengan Sex

SELEPAS tahap kebijaksanaan atau IQ yang dimiliki oleh seekor cimpanzi didedahkan kepada umum, kini satu lagi penemuan dilakukan mengenai mamalia itu. Penemuan terbaru mendapati cimpanzi mahir dalam sistem tukar barang (barter).

Dalam usaha untuk mendapatkan rundingan yang adil, cimpanzi didapati mengadakan perbincangan sesama sendiri bagi menukar seketul daging untuk mendapatkan seks.

Cimpanzi jantan dikatakan sanggup berkongsi hasil buruannya dengan sekawan cimpanzi yang lain bagi membolehkan dirinya mendekati cimpanzi betina di dalam kawanan tersebut. Dengan hasil pertukaran itu, cimpanzi jantan terlibat akan dibenarkan menjalin hubungan seks dengan cimpanzi betina pilihannya.

Penemuan itu dilakukan oleh Christina Gomes dan rakan-rakannya dari Institut Evolusi Antropologi Max Planck, Jerman. Mereka telah mengadakan kajian di hutan Tai di pesisiran pantai Ivory, barat Afrika. Sambil memerhatikan tabiat dan habitat cimpanzi semasa memburu makanan, kumpulan pengkaji itu turut merekodkan data mengenai aktiviti seks yang berlaku dalam kalangan kumpulan cimpanzi.

"Dengan berkongsi makanan, cimpanzi jantan meningkatkan peluang untuk mengadakan seks dengan cimpanzi betina di dalam kawanan lain. Pada masa yang sama, cimpanzi betina menerima kandungan kalori yang tinggi apabila menikmati makanan yang ditukarkan itu.

"Menariknya, apabila cimpanzi jantan menambah jumlah makanan yang dikongsi, bilangan aktiviti seks yang diadakan dengan cimpanzi betina juga bertambah sekali gus meningkatkan peluang untuk ia menjadi lebih subur," katanya.

Sementara itu, daging adalah salah satu daripada diet penting dalam kehidupan seharian cimpanzi. Ia tinggi dalam protein.

"Memandangkan cimpanzi betina tidak memburu, sukar baginya untuk mendapat bekalan daging yang konsisten," ujar Dr. Gomes.

Hipotesis mengenai seks untuk daging telah lama wujud bagi menjelaskan mengapa cimpanzi jantan sanggup berkongsi hasil tangkapan. Bagaimanapun, usaha untuk merekodkan kejadian itu gagal dilakukan sebelum ini.

Pendekatan baru yang digunakan oleh kumpulan Dr. Gomes adalah melihat beberapa petunjuk yang bakal membantu dalam membongkar rahsia evolusi manusia. Beliau mencadangkan agar penyelidikan itu digunakan sebagai asas kepada kajian terhadap hubung kait di antara kemahiran pemburuan yang bijak dan kejayaan sistem produktif.

"Penemuan ini benar-benar menarik perhatian saya dan selepas ini, saya ingin mendalami kehidupan seorang pemburu yang bergantung pada hasil tangkapan," tambahnya.

Sementara itu, Michael Gurven dari Universiti California di Santa Barbara, Amerika Syarikat menyelidik tentang sifat manusia dalam komuniti pemburu di Amerika Selatan. Katanya, perkaitan di antara kemahiran pemburuan yang bijak dan kejayaan sistem produktif dapat memberi gambaran yang jelas terhadap cara pemikiran manusia.

Beliau berkata, hasil yang dikumpul daripada penyelidikan itu memberi input kepada proses menjalin ikatan perhubungan sesama manusia dalam tempoh masa yang lama.

"Perbuatan ini tidak diketahui sebelum ini," katanya.Kosmo

No comments: