12 February 2009

Gelora nafsu lepas bertunang

Belumpun sempat bergelar pengantin baru, malah baru sembilan jam bertunang, sepasang kekasih yang kemaruk cinta dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah motel dekat sini, tengah malam kelmarin.

Pasangan berusia 20-an dari Pendang itu dikatakan menyewa di bilik di motel itu kerana beranggapan sudah mempunyai 'lesen' untuk hidup bersama, tetapi tindakan mereka mengundang padah.

Si lelaki yang melakukan kerja kampung ditahan bersama pasangannya selepas mereka mengaku baru bertunang ketika pintu bilik dibuka untuk pemeriksaan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Motel itu dikatakan turut diubah suai dan menjadi tempat pasangan muda, terutama pelajar menyewa kerana menawarkan bayaran murah mengikut kiraan jam iaitu sekitar RM20 hingga RM50 bagi satu malam.

Tinjauan Harian Metro mendapati, setiap bilik motel itu dilengkapi pintu besi yang kelihatan seperti pintu bilik mayat bagi membolehkan penyewa mengintai sekiranya pihak berkuasa datang ke kawasan itu.

Penyewa juga boleh menyimpan motosikal dalam bilik motel masing-masing bagi mengelak dikesan orang ramai dan jika dilihat dari luar, kawasan motel yang mempunyai 26 bilik itu seperti rumah penduduk.

Sementara itu, empat pasangan remaja berusia belasan tahun turut dicekup kerana menyewa di bilik motel berkenaan untuk memadu asmara.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Sheikh Muhamad Suhaimi Salleh, berkata pasangan baru bertunang itu antara enam pasangan ditahan di motel terbabit dalam operasi cegah maksiat, malam kelmarin.

Beliau berkata, kebanyakan pasangan itu memberi pelbagai alasan untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.

Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star untuk dibuat laporan siasatan sebelum dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kota Star untuk diambil keterangan.

Dalam operasi cegah maksiat siri kelima itu, Muhamad Suhaimi berkata, pihaknya dianggotai sembilan anggota dibantu penguat kuasa dari Kuala Muda, Kulim dan Kota Star bermula jam 9.30 malam hingga 3.30 pagi.

Katanya, kawasan tertumpu di sekitar pusat bandar raya ini dan Kuala Kedah selain berjaya menahan 18 orang yang disyaki melakukan maksiat di hotel murah. HM

No comments: